Skim Pembiayaan Khas Perumahan Awam, Pencarum KWSP Tidak Terjejas

Kerajaan hari ini memberi jaminan penggunaan RM1.5 bilion dana daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk Skim Pembiayaan Khas bagi perumahan awam untuk golongan berpendapatan rendah tidak akan menjejaskan pencarum KWSP.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata jumlah pembiayaan yang digunakan untuk skim itu tidak begitu besar berbanding dana yang ada pada KWSP.

“Skim yang dicadangkan itu tidak menjejaskan kepentingan KWSP kerana nilai rumah itu jauh lebih tinggi di pasaran berbanding harga rumah itu dijual kepada pembeli.”

“Jadi sekiranya pembeli tidak mampu membayar balik atau tidak membayar balik, rumah itu masih boleh dijual di pasaran dengan harga lebih besar, soal kepentingan KWSP sentiasa kita lindungi,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas bantahan sesetengah pihak terhadap penggunaan RM1.5 bilion dana daripada KWSP untuk membiayai program berkenaan.

Najib yang diiringi isteri Datin Seri rosmah Mansor yang dalam rangka lawatan kerja sehari ke Terengganu sebelum itu menyampaikan baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, di sini.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata skim pembiayaan itu dirangka untuk membantu mereka yang berminat memiliki rumah di kawasan ibu negara, terutama mereka yang tidak layak mendapat pinjaman daripada institusi kewangan.

“Ini adalah skim mesra rakyat, terutama golongan yang berpendapatan rendah,” katanya.

Beliau menegaskan kerajaan sentiasa mengutamakan kepentingan pencarum KWSP.  Skim itu dilancarkan Perdana Menteri pada 28 Januari lalu setelah Jemaah Menteri mempersetujui skim yang dicadangkan Kementerian Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar itu.

Skim itu dilaksanakan di bawah Program Perumahan Rakyat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (PPR-MTEN) dan juga Perumahan Awam DBKL.

Ia akan dikendalikan Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Yayasan Wilayah Persekutuan dengan dana pembiayaan daripada KWSP. – BERNAMA


Artikel Menarik

  • Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M), Pendapatan Isi Rumah Maksimum RM3000 Layak Memohon

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>